KEMATIAN tukang masak peribadi bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Tafari Campbell, di sebuah tasik di dalam komuniti resort Massachusetts, Martha’s Vineyard, disahkan sebagai satu kemalangan.

Jurucakap Pejabat Eksekutif Keselamatan Awam Massachusetts, Timothy McGuirk, memaklumkan pada Selasa malam, punca kematian diisytiharkan sebagai kes lemas.

Terdahulu, mayat Campbell ditemui di tasik Edgartown Great pada 23 Julai selepas Polis Massachusetts mengesahkannya sebagai pendayung yang dilihat mengalami masalah di tasik berdekatan rumah percutian Obama itu.

Kematian Campbell yang berusia 45 tahun menjadi tumpuan ramai selepas proses pencarian selama dua hari berakhir apabila mayatnya dijumpai kira-kira 30 meter dari pantai dan 2.4 meter di bawah permukaan air.

Polis memaklumkan, ketika kejadian, keluarga Obama tiada di rumah.

Campbell bekerja di White House sebelum menyambung perkhidmatan bersama keluarga Obama selepas Presiden ke-44 itu meninggalkan Oval Office pada 2016.

Mendiang yang menetap di Dumfries, Virginia, meninggalkan seorang isteri, Sherise dan sepasang anak kembar.